Penjualan panik saham berlaku apabila ramai pelabur menjual pegangan saham mereka dan menyebabkan kejatuhan harga melebihi 20%. Akan tetapi, ada segolongan pelabur yang dapat mencatatkan keuntungan pada masa ini. Untuk artikel kali ini, admin akan kongsikan beberapa kaedah yang investor dan trader boleh gunakan.
Beberapa strategi boleh digunakan oleh pelabur apabila menjangka penjualan panik bakal berlaku. Akan tetapi, apa yang bakal dikongsikan oleh admin pada kali ini tidak sesuai untuk semua orang, akan tetapi ianya langkah terbaik yang akan dilakukan oleh seorang value investor. Walaubagaimanapun ianya tertakluk kepada kemampuan, risiko, tempoh pelaburan dan matlamat masing-masing.
Secara kelazimannya, penjualan panik ialah satu tempoh di mana harga saham jatuh secara berterusan sehingga melebihi 20%. Ianya boleh berlanjutan selama beberapa hari dan ada kalanya ianya boleh bebulan-bulan lamanya bergantung kepada sentimen pasaran.
Menjual Pegangan Saham
Strategi yang paling selamat adalah dengan keluar dari pasaran dan tidak melibatkan diri dengan kejatuhan pasaran. Dengan menjual semua pegangan, anda boleh memilih samada untuk hanya kekalkan lebihan duit tersebut dalam bentuk tunai ataupun laburkan pada instrumen kewangan yang lebih stabil seperti bon dan sukuk.
Dengan berbuat demikian anda dapat mengurangkan kerugian anda dan mengelakkan daripada terdedah kepada pasaran saham yang sedang jatuh.
Anda juga mampu meminimumkan kesan bear market dan mengelakkan pelaburan anda dari berdarah dengan sangat parah.
Walaubagaimanapun, kekurangannya adalah apabila pasaran mula “rebound” anda mungkin akan terlepas peluang untuk memanfaatkan kenaikan harga saham tersebut selepas kejatuhannya di paras terendah.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa tiada pelabur yang mampu menjangka pergerakan market ini dengan ketepatan yang tinggi.
Posisi Bertahan “Defensive”
Bagi pelabur yang ingin mengekalkan pegangan mereka di pasaran saham, strategi “defensive” ini sering digunakan. Strategi ini melibatkan pelaburan ke dalam syarikat yang besar dengan laporan kewangan yang kuat serta mempunyai sejarah yang baik.
Syarikat yang stabil dengan market capital yang besar cenderung untuk kurang terkesan daripada kejatuhan market ataupun kejatuhan ekonomi menyebabkan harga saham mereka kurang terdedah kepada kejatuhan yang tinggi.
Saham-saham yang bersifat “defensive” ini termasuklah syarikat yang memenuhi keperluan bisnes dan pengguna seperti pembekal makanan. Walaupun ekonomi sedang jatuh, manusia masih perlu untuk makan. Begitu juga dengan pengeluar dan pembekal bagi barang keperluan lain seperti peralatan kelengkapan peribadi.
Dengan status kewangan yang kukuh berserta peruntukan wang yang besar untuk memenuhi perbelanjaan operasi secara berterusan, syarikat-syarikat ini lebih berpotensi untuk bertahan sepanjang tempoh kejatuhan ini.
Manakala syarikat yang berisiko tinggi seperti syarikat yang mempunyai pertumbuhan berskala rendah sering dielak oleh pelabur. Syarikat ini kurang berkemungkinan untuk mempunyai jaminan kewangan yang mencukupi bagi bertahan pada tempoh kejatuhan ini.
Pemburu Harga Promo/Diskaun
Market merah merupakan satu peluang untuk membeli saham pada harga yang jauh lebih murah. Cara terbaik untuk memanfaatkan peluang ini adalah dengan menggunakan “dolar cost averaging”.
Strategi ini adalah anda perlu untuk melabur dengan belian yang kecil dan berterusan, sebagai contoh katakan kita membeli RM 300 saham yang sama secara berterusan pada setiap bulan tanpa mengira betapa suramnya market pada ketika itu.
Anda boleh menggunakan teknik ini untuk labur pada saham yang berkualiti serta memberikan dividen tinggi. Ini adalah kerana dividen sangat membantu dalam menyumbang kepada pulangan yang lebih besar dalam pelaburan.
Menerima dividen boleh mengurangkan sedikit luka daripada market yang sedang berdarah teruk, dan mengurangkan kesakitan para “hodler”.
Mempelbagaikan portfolio pelaburan anda dengan menambah pelaburan alternatif yang tidak saling berkaitan dengan satu sama lain, sangat membantu dalam tempoh kejatuhan market ini.
Jika saham jatuh, anda masih ada peluang untuk peroleh pulangan daripada pelaburan anda yang lain. Sebagai contoh, pecahan yang anda boleh lakukan adalah:
| Aset | Pecahan |
|---|---|
| Saham | 40% |
| Bon dan sukuk | 20% |
| Unit amanah | 30% |
| Komoditi dan aset digital | 10% |
Konklusi
Ini merupakan beberapa strategi yang sering digunakan oleh pelabur bijak ketika market merah. Penting untuk anda faham bahawa penjualan panik merupakan satu fasa yang perit bagi pelabur terutamanya pelabur yang melabur jangka masa pendek dan sederhana.
Sebahagian besar saham akan mengalami kejatuhan yang besar sepanjang tempoh ini, namun strategi ataupun langkah-langkah yang boleh diambil pelabur hanya boleh mengurangkan kesan kejatuhan tersebut, dan tidak mampu mengelak atau menghilangkan kesannya.
Berikut adalah rumusan strategi boleh dilakukan apabila market merah berlaku. Berikut adalah antara langkah yang boleh diambil:
- Mengeluarkan semua pegangan saham yang anda miliki.
- Membeli saham yang bersifat “defensive”
- Mencari peluang untuk membeli saham yang berkualiti pada harga yang jauh lebih murah daripada harga sebelum berlakunya kejatuhan market.
Apa pandangan anda? Apakah anda akan buat ketika penjualan panik? Tinggalkan komen anda di ruangan komen. Klik Untuk Info Lanjut
Berminat dengan saham? Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan rasional ketika melabur? Tips untuk mengelakkan anda dari sentiasa rugi? Ikuti media sosial SmartSaham di Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram atau SMARTSAHAM ACADEMY OFFICIAL di Youtube.
Anda akan diperkenalkan pelbagai ilmu untuk melahirkan trader yang versatile, berkeyakinan, bijak dan matang dalam trade. Jom, apa tunggu lagi!