Kebiasaannya yang kita belajar dalam pelaburan saham kita diajar untuk melihat analisa fundamental sesuatu saham di mana kita akan lihat “the numbers” dalam syarikat tersebut. Kita akan dapatkan maklumat-maklumat ini melalui financial statement, balance sheet, annual report dan quarter report.
Kali ini admin ingin berkongsi berkenaan perkara-perkara yang kita perlu tengok selain daripada kuantitatif ataupun “the numbers” ini, kita akan lihat beberapa aspek lain dari sudut kualitatif yang mampu memberi kesan kepada sesuatu bisnes tersebut.
Melabur dalam saham berkualiti bukan sahaja membantu anda untuk mengurusakan risiko pelaburan, malah ianya membantu anda untuk kembangkan aset anda. Jom ketahui 8 kriteria yang menentukan sesuatu saham berkualiti.
Keadaan Makroekonomi
Sebelum kita ingin melabur di dalam sesuatu syarikat perlu untuk kita tengok sejauh mana syarikat tersebut terkesan dengan inflasi dan deflasi serta perubahan dalam kadar interest dan pertukaran Matawang. Faktor-faktor makroekonomi ini mampu memberi kesan terhadap sesuatu bisnes.
Selain itu perlu juga untuk kita lihat kesan daripada dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan seperti dasar kewangan dan fiskal sebagai contoh kenaikan, pengekalan atau penurunan kadar OPR.
Antara sumber yang boleh digunakan untuk mendapat maklumat adalah belanjawan negara. Kita boleh lihat ke mana aliran belanjawan ataupun duit tersebut akan pergi dan sektor-sektor apa yang akan menerima manfaat tersebut.
Kita juga boleh lihat dasar-dasar perdagangan baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Sebagai contoh semasa Donald Trump menjadi presiden dahulu banyak mengganggu ekonomi akibat kesan daripada “trade war” yang berlaku antara US dan China.
Seterusnya adalah isu-isu geopolitik yang berlaku. Contoh menarik yang sering berlaku di Malaysia adalah kebimbangan akibat ketidakstabilan politik, adanya percanggahan dan ketidaksamaan pendapat sesama ahli politik menyebabkan hari-hari kita tidak tenang menunggu sidang media.
Kesan jelas yang kita dapat lihat adalah pelabur asing keluar daripada Malaysia dan melabur di negara jiran yang lain.
Regulation
Regulation ataupun undang-undang bagaimana sesuatu bisnes ingin beroperasi di dalam sesebuah negara. Adakah ada “compliance” yang perlu untuk dipatuhi, keperluan untuk memiliki lesen ataupun perlindungan paten dan sebagainya.
Sebagai contoh syarikat yang terlibat dengan industri kewangan, memerlukan lesen daripada Bank Negara Malaysia.Selain itu kita boleh lihat jika ada perubahan-perubahan dalam perundangan yang mampu memberi kesan terhadap syarikat tersebut.
Antara faktor lain yang mungkin memberi kesan terhadap syarikat ialah cukai import dan eksport yang dikenakan. Perlu untuk kita lihat kesan faktor-faktor ini terhadap operasi syarikat.
Struktur Industri
Perlu untuk kita lihat syarikat tersebut berada dalam industri apa dan di peringkat apa industri tersebut berada dalam “life-cycle” samada introduction, expension, maturity ataupun peringkat decline.
Sebagai contoh industri Oil & Gas berbanding Renewable Energy. Industri Oil & Gas ni boleh kita katakan merupakan “sunset” industri, sudahpun menghampiri hujung-hujung nyawa.
Manakala kita boleh lihat industri Renewable Energy sedang berkembang dimana sudah ada kereta elektrik berteknologi tinggi yang mampu berfungsi sepenuhnya.
Seterusnya kita lihat pada operasi pengeluaran produk adakah ia berintensifkan buruh ataupun modal. Sebagai contoh sektor pertanian sudah tentu berintensifkan buruh kerana memerlukan tenaga buruh manakala sektor hartanah sudah tentu berintensifkan modal kerana memerlukan modal yang besar untuk memiliki dan membina hartanah sebelum menjual.
Kita juga boleh lihat adakah banyak pesaing dalam industri tersebut, adakah sudah ramai pesaing yang sudah besar dan kuat yang akan memberikan saingan dan cabaran. Selain itu kita boleh lihat adakah bisnes tersebut monopoli ataupun oligopoli.
Di Malaysia kita ada banyak bisnes yang memonopoli sebagai contoh Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional. Kebanyakan fund manager akan meletakkan sebahagian daripada fund dalam syarikat-syarikat yang memonopoli bisnes dalam industri masing-masing.
Struktur Bisnes
Dalam struktur bisnes, antara perkara penting yang kita perlu lihat adalah apakah jenis bisnes yang dijalankan syarikat tersebut, apakah bisnes utama syarikat dan berapakah saiz bisnes tersebut.
Bagi syarikat yang tersenarai di Bursa kita boleh lihat melalui market capital mereka, berapakah nilai syarikat tersebut berbanding syarikat lain yang mempunyai bisnes yang sama.
Selain itu kita lihat dimanakah kedudukan syarikat tersebut dalam industri mereka, adakah mereka mendahului (leaders) ataupun ketinggalan (laggards) berbanding syarikat lain.
Sebagai contoh leaders dalam properti adalah syarikat gergasi seperti SP Setia dan IJM. Syarikat yang menjadi leaders mempunyai kelebihan kerana ada rekod yang solid.
Manakala yang menjadi laggards ada potensi untuk menjadi “hidden gems” kerana ia masih berada di kategori syarikat kecil, perlu untuk kita kaji halatuju syarikat tersebut jika ada solid planning untuk penjanaan keuntungan dan perkembangan syarikat dalam jangka masa panjang.
Produk dan Brand
Jika sesuatu syarikat mempunyai pelbagai produk, perlu untuk kita kaji bagaimana jualan untuk sesuatu produk, yang mana satu merupakan produk utama yang menyumbang kepada keuntungan syarikat.
Kemudian kita lihat di mana produk-produk tersebut berada di dalam peringkat “life cycle” mereka samada introduction, growth, maturity atau peringkat decline.

Sebagai contoh pada tahun 2007 merupakan fasa introduction bagi iPhone dan sekarang kita boleh katakan produk iPhone sudah pun berada di fasa maturity ataupun peringkat kemuncak.
Selain itu kita lihat samada produk tersebut mempunyai kumpulan sasaran yang jelas untuk jualan. Adakah syarikat tersebut mempunyai strategi pemasaran yang efisien. Apa yang dilakukan oleh syarikat untuk memastikan keberlangsungan produk agar mampu bersaing jika ada pesaing yang lain.
Kelebihan
Adakah syarikat tersebut mempunyai kelebihan di dalam market di peringkat domestik mahupun luar negara. Adakah syarikat tersebut mempunyai strategi yang membolehkan mereka capai dan convert kumpulan sasaran mereka kepada pelanggan.
Kita juga perlu lihat adakah syarikat tersebut mempunyai blueprint operasi dan pemasaran, polisi serta strategi secara keseluruhan yang mampu memberikan mereka kelebihan berbanding pesaing mereka yang lain. Seterusnya, jika mereka memenuhi semua kriteria ini, kita ingin lihat juga apakah threat ataupun ancaman yang syarikat tersebut hadapi.
Key People
Siapa yang mengemudi sesuatu syarikat merupakan aspek yang sangat penting untuk kita lihat. Namun aspek ini agak sukar untuk kita nilai kerana kita tidak kenal secara personal orang-orang di dalam syarikat tersebut seperti CEO, Direktor dan Key People mereka.
Akan tetapi kebiasaan syarikat yang tersenarai di dalam Bursa, top management mereka akan selalu keluar media. Jadi kita boleh nilai perwatakan serta pembawakan mereka kepada publik melalui media.
Syarikat-syarikat yang mempunyai orang-orang yang berkualiti dalam mengemudi halatuju syarikat akan mempunyai satu kelebihan yang sangat besar berbanding syarikat yang lain.
Ini adalah kerana mereka mempunyai aura kepimpinan serta pengaruh yang besar di dalam syarikat serta sentiasa kaya dengan idea-idea baharu yang kreatif.
Sumber Bahan Mentah
Akhir sekali, faktor ataupun aspek kualitatif yang perlu untuk kita lihat dan kaji ialah sumber bahan mentah mereka. Adakah syarikat tersebut bergantung hanya pada satu bahan mentah sahaja ataupun hanya bergantung kepada satu pembekal sahaja?
Perkara ini sangat penting kerana produk tidak dapat dihasilkan dan pengeluarannya akan tergendala dengan ketiadaan sumber bahan mentah.
Sebagai contoh jika bahan mentah tersebut adalah kayu balak di mana sumber kayu balak adalah sangat terhad kerana kawalan aktiviti pembalakan. Syarikat ini akan menghadapi risiko untuk tidak dapat beroperasi kerana tidak cukup bahan.
Perlu untuk kita lihat apakah tindakan syarikat tersebut untuk menghadapi situasi, adakah mereka akan import dari pembekal luar atau hanya bergantung pada sumber lokal sahaja.
Seterusnya jika syarikat tersebut melibatkan aktiviti import dan eksport, perlu untuk kita lihat sejauh mana kesan perubahan kadar pertukaran matawang asing terhadap keuntungan syarikat.
Selain itu adakah syarikat tersebut terkesan dengan perubahan sumber tenaga buruh. Sebagai contoh jika menggunakan buruh warga asing, dan berlaku situasi Covid-19 mula-mula merebak dahulu, terdapat banyak tenaga buruh yang tidak dapat masuk ke dalam negara. Perlu untuk kita nilai kesan daripada perkara ini kepada operasi syarikat tersebut.
Penutup
Lengkap sudah 8 aspek kualitatif dalam mencari saham berkualiti yang ingin admin kongsikan. Jika kita mampu untuk dapatkan maklumat yang cukup bagi kesemua lapan aspek ini, kita ada maklumat yang solid untuk membuat keputusan dalam urusan jual beli saham.
Walaupun aspek-aspek ini adalah agak subjektif, namun amat baik untuk kita tahu agar kita dapat gambaran dan pengetahuan ringkas berkenaan aspek-aspek ini.
Dan jika kita dapat menjumpai syarikat yang lengkap dari semua aspek-aspek ini, syarikat tersebut bukan sahaja menjadi saham berkualiti juga mempunyai potensi besar untuk menjadi “Home Run Stock”.
Ingin tahu lebih lanjut berkenaan Home Run Stock?
Apa pandangan anda? Adakah kriteria lain yang boleh dijadikan panduan memilih saham berkualiti? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tahu tips dan trick nak buat lebih banyak duit dalam ? Jom dapatkan tips lebih banyak dari kami.
Berminat dengan saham? Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan rasional ketika melabur? Tips untuk mengelakkan anda dari sentiasa rugi? Ikuti media sosial SmartSaham di Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram atau SMARTSAHAM ACADEMY OFFICIAL di Youtube.