Anda pernah dengar weak holders? Apa maksud weak holders ini? Kenapa ia dipanggil weak holders? Bagi yang pertama kali mendengar terma ini semestinya anda tertanya-tanya apakah maksud weak holders dalam dunia saham. Adakah anda tergolong dalam golongan ini? Kali ini admin bawakan khas cerita sang jerung yang tak ramai orang tahu.
Siapa Weak Holders?
Weak holders merupakan golongan trader yang kekurangan untuk melaksanakan strategi mereka. Bahkan, traders yang tiada pengalaman, tiada rancangan perdagangan asas, tiada ilmu pengurusan risiko yang betul dan terjebak dalam dunia perdagangan secara suka-suka atau pengaruh kawan semata juga tergolong dalam weak holders. Kebanyakkan weak holders merupakan mereka yang sentiasa mencatatkan kerugian dalam pasaran.
Hakikatnya, golongan weak holders ini boleh kita umpamakan sebagai ikan bilis dimana kebanyakannya terdiri daripada rakyat marhaen biasa. Manakala, jerung pula terdiri daripada kalangan orang-orang bermodal besar dalam pasaran saham.
Seperti yang kita lihat, jerung-jerung ini mempunyai modal yang lebih besar dan bijak menyusun strategi perdagangan mereka sendiri. Jerung-jerung ini digelar sebagai ‘Smart Money’.
Rahsia Si Jerung
Jerung-jerung ini mempunyai satu taktik dimana mereka akan ‘memakan’ ikan-ikan bilis ini dengan cara mempengaruhi emosi weak holders seterusnya membuat golongan itu berputus asa ketika melabur.
Jika anda pernah terlihat dalam platform perdagangan, apabila kita mula melabur dalam satu syarikat yang bukan calang-calang, tidak lama kemudian harga saham tersebut jatuh secara tiba-tiba.
Maka, sudah tentu kita akan jual saham itu serta-merta kerana bimbang ia akan membawa lebih banyak kerugian. Tetapi selepas menjualnya, harga saham tadi mula menaik pula. Untuk pengetahuan anda, itu semua adalah permainan si jerung.
Selain itu, jerung-jerung ini kebiasaannya mengambil peluang dengan membeli saham tersebut ketika golongan weak holders menjual saham yang menurun dan mereka akan menjual semasa harga saham menaik dimana pada waktu itu, golongan weak holders akan berebut untuk membeli kerana menganggap saham tersebut mempunyai potensi dan kualiti yang baik.
Pengajaran
Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil untuk golongan weak holders ini antaranya jangan sesekali anda masuk ke dalam sesuatu trade itu disebabkan terlalu percayakan ‘buy call’ atau cadangan orang lain. Hal ini demikian kerana, tidak semestinya ‘buy call’ itu telus dan tepat dalam meramal pergerakan turun naik saham.
Kedua, jika anda mempunyai kaunter kegemaran atau kaunter yang berkualiti, anda jangan terus melabur. Sebaliknya kaji dahulu dengan membuat analisis sendiri. Jangan terburu-terburu dan mudah terpengaruh. Hal ini demikian kerana, bimbang jika sangkaan anda meleset sekaligus membawa kerugian kepada anda.
Ketiga, anda perlu mengetahui harga saham secara kasar sebelum mula melabur dan menetapkan jangkaan harga saham yang anda mahukan pada masa akan datang. Secara tidak langsung, anda boleh kaitkan dengan analisis teknikal untuk strategi yang lebih tepat dan berkesan.
Akhir sekali, adalah menjadi satu kesilapan yang sangat besar jika anda meletakkan kesemua modal perdagangan ke dalam satu kaunter sahaja. Hal ini demikian kerana, ia akan membawa kerugian yang sangat besar dek kerana risikonya yang amat tinggi.
Justeru, anda boleh membahagikan modal kepada beberapa akaun untuk mengurangkan risiko. Secara logiknya, jika sesebuah kaunter tersebut menyebabkan kerugian, anda tidak terlalu bimbang kerana kaunter-kaunter lain yang telah anda laburkan masih lagi terkawal.
Kesimpulan
Secara tuntas, kita sebagai weak holders perlu lebih bijak dalam merancang strategi perdagangan dan sentiasa merangka pelan yang baharu mengikut kesesuaian corak pasaran kerana bagi si jerung, mereka menganggap bahawa tingkah laku weak holders mudah diramal seterusnya memberi kelebihan untuk mereka menguasai saham.
Jom sama-sama kita keluar daripada kepompong weak holders dan lawan jerung-jerung saham.
Mahu jadi trader yang berjaya? Jom dapatkan tips lebih banyak dari kami. Ikuti media sosial SmartSaham di Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram atau SMARTSAHAM ACADEMY OFFICIAL di Youtube.